5 Nov 2012

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA




Disediakan oleh:
ZAKINA IZIENTY BINTI ZAINAL
UNIT PENGENDALIAN PELANCONGAN

Kehidupan seorang anak akan indah dan diredhai Allah sekiranya dia berbakti kepada orang tuanya dan mengutamakan kebajikan mereka. Ini kerana di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Sembahlah Allah dan jangan kamu mempersukutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu” (Surah An-Nisa’;36).
           
Berbuat baik kepada kedua ibu bapa juga adalah satu perbuatan yang  sangat mulia di mana Allah meletakkan kedudukannya di tangga yang kedua selepas mengerjakan solat pada waktunya. Allah juga mengharamkan seorang anak menderhakai kedua ibu bapanya kerana “Keredhaan Allah ada pada keredhaan orang tua dan kemurkaan Allah ada pada kemurkaan orang tua” (Riwayat Tirmidzi dalam Jami’nya (1/346).
           
Hasnul Hadi bin Ahmad di dalam artikel “70 tahun Berbakti Kepada Orang Tua” (11 April 2011) menyatakan ibu bapa merupakan pintu atau cara untuk mendapat kejayaan serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Banyak ganjaran dan pahala yang Allah s.w.t janjikan kepada hamba yang berbuat baik serta berbakti kepada orang tuanya. Antaranya adalah;
(1)   Dijanjikan syurga
(2)   Diampunkan dosanya.
(3)   Telepas dari kesempitan atau kesukaran hidup.
(4)   Murah rezeki / dipanjang umur
(5)   Kebahagiaan dan Sakinah dalam rumahtangga.
Lihatlah betapa besar ganjaran dan pahala yang dijanjikan Allah s.w.t kepada mereka ini. Allah s.w.t juga menegaskan dalam firman-Nya; “Rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkan “Wahai Tuhanku,kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihaniku dan mendidikku semasa kecil (Al-Isra’: 24).
           
Banyak cara yang boleh kita lakukan sebagai anak untuk berbakti kepada kedua orang tua kita selagi mereka ada di bumi ini. Salah satunya adalah memberi nafkah atau bantuan kewangan walaupun sedikit bagi meringankan beban mereka. Tugas dan tanggungjawab seorang anak juga adalah menjaga mereka apabila mereka sudah berusia  dengan memberi layanan dan perhatian dengan penuh kasih sayang kepada mereka seperti mana mereka menjaga dan membesarkan kita dari kecil hingga dewasa. Kita juga patut taat  pada perintah orang tua kita selagi ia tidak bercanggah dengan hukum agama. Anak yang baik juga tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada orang tuanya atas dasar membalas jasa melainkan ia atas kewajipan demi keredhaan orang tuanya dan mencari keredhaan Allah s.w.t. Anak yang tinggal berjauhan dengan ibu bapanya juga perlulah selalu meluangkan masa mengunjungi mereka dan meluangkan masa bersama mereka. Selain itu, seorang anak perlulah sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya walaupun mereka telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur.
           
Pengorbanan ibu bapa amat besar nilainya dan tidak mungkin dapat dibandingkan dengan apa-apa pun di dunia ini. Kebaikan yang dilakukan kepada ibu bapa amat kecil berbanding dengan jasa yang telah dicurahkan mereka. Jesteru, ambillah kesempatan yang ada untuk melakukan bakti kepada ibu bapa sebaik mungkin. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.


No comments:

Post a Comment