5 Nov 2012

Dugaan Hidup



Dikarang oleh:
ZAKINA IZIENTY BINTI ZAINAL
UNIT PENGENDALIAN PELANCONGAN

Manusia tidak lari dari menghadapi krisis, musibah, halangan dan rintangan serta kekecewaan dalam kehidupan seharian. Inilah yang dinamakan dugaan hidup. Sebagai manusia kita perlulah yakin setiap apa yang terjadi itu ada hikmah disebaliknya. Terserah kepada individu itu sendiri cara menghadapi dan menanganinya.
Terdapat pelbagai jenis dugaan kehidupan.  Antaranya adalah kematian orang yang dikasihi, penceraian rumahtangga, masalah kewangan, krisis kerjaya, kesempitan hidup, putus cinta, masalah peribadi dan sebagainya. Di dalam buku yang berjudul “Dugaan Hidup” yang dikarang oleh Wan Aznan Hj. Wan Abdullah (2000) menyatakan bahawa dugaan hidup yang kita alami itu, walau sepahit manapun hanyalah asam garam kehidupan di dunia. Setiap dugaan itu akan sentiasa silih berganti, datang dan pergi untuk menguji kekuatan mental, rohani dan fizikal manusia.
Bagi individu yang lemah semangat dan jiwanya, dugaan yang dihadapinya dirasakan sebagai musibah yang amat besar lantas dia akan bertambah tertekan, hilang keyakinan dan hidupnya dirasakan sudah tidak bermakna lagi. Pegangan hidupnya akan hancur sedikit demi sedikit kerana dia tunduk pada kelemahan dirinya sendiri. Dia tidak redha dengan apa yang berlaku dan berfikir Tuhan berlaku zalim pada dirinya. Dia juga akan terus menerus mengasingkan diri dari keluarga dan rakan-rakan serta bermuram dan hanyut melayan perasaan. Maka dengan mudahnya dia terpengaruh dengan hasutan syaitan dan terjerumus melakukan perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri, minum arak dan sanggup membunuh manusia yang tidak bersalah untuk memuaskan hatinya. Alangkah malangnya hidup bagi individu sebegini kerana tidak pandai mengawal emosi dan mudah patah semangat. Lebih malang lagi kerana telah mensia-siakan hidupnya untuk perkara yang bodoh dan merugikan diri sendiri.
Bagi individu yang kental semangat, dugaan hidup itu adalah satu cabaran bagi dirinya. Dia sentiasa berfikiran positif dan menganggap dugaan yang datang adalah bersifat sementara. Dia percaya bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan disebaliknya, dan dia juga percaya akan ada kelapangan sesudah kesusahan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam Riwayat Ibnu Abbas, “…Dan ketahuilah bahawa kemenangan itu akan terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu akan muncul sesudah kesusahan. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan.” Individu ini juga akan sentiasa kelihatan tenang dan sabar menghadapi apa jua halangan dalam perjalanan hidupnya. Dia sentiasa berdoa memohon pertolongan dari Allah s.w.t. kerana bagi dirinya setiap ujian dan dugaan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jiwanya akan bertambah kuat, kental dan kebal dalam apa jua situasi sukar atau krisis yang diterima. Hebat dan beruntunglah manusia ini kerana Allah menjanjikan pahala dan rahmat untuknya di dunia dan akhirat.
Terdapat banyak cara bagi menghadapi dugaan kehidupan. Antaranya adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan berdoa, berzikir dan memohon keampunan daripadaNya. Selain itu, tidak berputus asa, sentiasa bersabar dan redha dengan dugaan yang menimpa. Individu itu juga haruslah pandai menangani tekanan hidup dan krisis yang dihadapinya dengan bijak dan berhemah. Robert S.Feldman dalam bukunya yang berjudul Essentials of Understanding Psychology (1994) menyatakan salah satu cara bagi menangani tekanan hidup adalah dengan mendapat sokongan sosial dan emosional dari orang lain. Bergaullah dengan keluarga atau rakan supaya tidak merasa sedih keseorangan. Berkongsilah masalah dengan orang yang dipercayai dengan harapan bebanan yang dihadapi akan lebih ringan. Isikan masa terluang dengan melakukan perkara yang berfaedah dan berguna seperti membaca buku, beriadah, membantu orang yang susah, bersukan dan sebagainya. Yang terakhir ialah sentiasa bersyukur kerana dugaan yang diberi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan dugaan yang menimpa orang lain dan anggaplah dugaan itu adalah untuk kebaikan diri sendiri supaya lebih kuat, tabah dan matang di masa akan datang.Orang sebegini akan pasti berjaya di dunia dan akhirat. Percayalah!!

BIBLIOGRAFI:

Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Sept, 2007), Mengingat Allah akan
menteteramkan. Jangan Bersedih (Don’t Be Sad).
Kashmuri Selamat M A (2009), Menghadap dan bersyukur kepada Allah. Rahmat
di Sebalik Dugaan.
Robert S.Feldman (1994), Coping with stress. Essentials of Understanding
Psycology.
 Wan Aznan Hj. Wan Abdullah (2000), Akan ada kelapangan sesudah
kesempitan. Dugaan Hidup.

No comments:

Post a Comment