Disediakan
oleh:
ZAKINA
IZIENTY BINTI ZAINAL
UNIT
PENGENDALIAN PELANCONGAN
Kehidupan seorang anak akan indah dan
diredhai Allah sekiranya dia berbakti kepada orang tuanya dan mengutamakan
kebajikan mereka. Ini kerana di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Sembahlah Allah dan jangan kamu
mempersukutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang
tuamu” (Surah An-Nisa’;36).
Berbuat baik kepada kedua ibu bapa juga
adalah satu perbuatan yang sangat mulia
di mana Allah meletakkan kedudukannya di tangga yang kedua selepas mengerjakan
solat pada waktunya. Allah juga mengharamkan seorang anak menderhakai kedua ibu
bapanya kerana “Keredhaan Allah ada pada keredhaan orang tua dan kemurkaan Allah
ada pada kemurkaan orang tua” (Riwayat Tirmidzi dalam Jami’nya (1/346).
Hasnul Hadi bin Ahmad
di dalam artikel “70 tahun Berbakti Kepada Orang Tua” (11 April 2011) menyatakan
ibu bapa merupakan pintu atau cara untuk mendapat kejayaan serta keselamatan
hidup di dunia dan akhirat. Banyak ganjaran dan pahala yang Allah s.w.t janjikan
kepada hamba yang berbuat baik serta berbakti kepada orang tuanya. Antaranya
adalah;
(1) Dijanjikan
syurga
(2) Diampunkan
dosanya.
(3) Telepas
dari kesempitan atau kesukaran hidup.
(4) Murah
rezeki / dipanjang umur
(5) Kebahagiaan
dan Sakinah dalam rumahtangga.
Lihatlah betapa besar ganjaran dan pahala yang dijanjikan
Allah s.w.t kepada mereka ini. Allah s.w.t juga menegaskan dalam firman-Nya; “Rendahkanlah
dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkan “Wahai
Tuhanku,kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihaniku dan
mendidikku semasa kecil (Al-Isra’:
24).
Banyak cara yang boleh kita lakukan
sebagai anak untuk berbakti kepada kedua orang tua kita selagi mereka ada di
bumi ini. Salah satunya adalah memberi nafkah atau bantuan kewangan walaupun
sedikit bagi meringankan beban mereka. Tugas dan tanggungjawab seorang anak
juga adalah menjaga mereka apabila mereka sudah berusia dengan memberi layanan dan perhatian dengan
penuh kasih sayang kepada mereka seperti mana mereka menjaga dan membesarkan
kita dari kecil hingga dewasa. Kita juga patut taat pada perintah orang tua kita selagi ia tidak
bercanggah dengan hukum agama. Anak yang baik juga tidak melakukan sesuatu
kebaikan kepada orang tuanya atas dasar membalas jasa melainkan ia atas
kewajipan demi keredhaan orang tuanya dan mencari keredhaan Allah s.w.t. Anak
yang tinggal berjauhan dengan ibu bapanya juga perlulah selalu meluangkan masa mengunjungi
mereka dan meluangkan masa bersama mereka. Selain itu, seorang anak perlulah
sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya walaupun mereka telah meninggal
dunia. Doa anak yang soleh akan terus menerus sampai kepada ibu bapanya yang
berada di alam kubur.
Pengorbanan ibu bapa amat besar
nilainya dan tidak mungkin dapat dibandingkan dengan apa-apa pun di dunia ini.
Kebaikan yang dilakukan kepada ibu bapa amat kecil berbanding dengan jasa yang
telah dicurahkan mereka. Jesteru, ambillah kesempatan yang ada untuk melakukan
bakti kepada ibu bapa sebaik mungkin. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi
ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.
No comments:
Post a Comment