Dikarang
oleh:
ZAKINA IZIENTY BINTI
ZAINAL
UNIT PENGENDALIAN
PELANCONGAN
Manusia
tidak lari dari menghadapi krisis, musibah, halangan dan rintangan serta
kekecewaan dalam kehidupan seharian. Inilah yang dinamakan dugaan hidup.
Sebagai manusia kita perlulah yakin setiap apa yang terjadi itu ada hikmah
disebaliknya. Terserah kepada individu itu sendiri cara menghadapi dan
menanganinya.
Terdapat
pelbagai jenis dugaan kehidupan.
Antaranya adalah kematian orang yang dikasihi, penceraian rumahtangga,
masalah kewangan, krisis kerjaya, kesempitan hidup, putus cinta, masalah
peribadi dan sebagainya. Di dalam buku yang berjudul “Dugaan Hidup” yang
dikarang oleh Wan Aznan Hj. Wan Abdullah (2000) menyatakan bahawa dugaan hidup yang kita alami itu, walau sepahit manapun hanyalah
asam garam kehidupan di dunia. Setiap dugaan itu akan sentiasa silih
berganti, datang dan pergi untuk menguji kekuatan mental, rohani dan fizikal
manusia.
Bagi
individu yang lemah semangat dan jiwanya, dugaan yang dihadapinya dirasakan
sebagai musibah yang amat besar lantas dia akan bertambah tertekan, hilang
keyakinan dan hidupnya dirasakan sudah tidak bermakna lagi. Pegangan hidupnya
akan hancur sedikit demi sedikit kerana dia tunduk pada kelemahan dirinya
sendiri. Dia tidak redha dengan apa yang berlaku dan berfikir Tuhan berlaku
zalim pada dirinya. Dia juga akan terus menerus mengasingkan diri dari keluarga
dan rakan-rakan serta bermuram dan hanyut melayan perasaan. Maka dengan
mudahnya dia terpengaruh dengan hasutan syaitan dan terjerumus melakukan
perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri, minum arak dan sanggup
membunuh manusia yang tidak bersalah untuk memuaskan hatinya. Alangkah malangnya
hidup bagi individu sebegini kerana tidak pandai mengawal emosi dan mudah patah
semangat. Lebih malang
lagi kerana telah mensia-siakan hidupnya untuk perkara yang bodoh dan merugikan
diri sendiri.
Bagi
individu yang kental semangat, dugaan hidup itu adalah satu cabaran bagi
dirinya. Dia sentiasa berfikiran positif dan menganggap dugaan yang datang
adalah bersifat sementara. Dia percaya bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmah
dan kebaikan disebaliknya, dan dia juga percaya akan ada kelapangan sesudah
kesusahan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam Riwayat Ibnu Abbas, “…Dan ketahuilah bahawa kemenangan itu akan
terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu akan muncul sesudah kesusahan.
Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan.”
Individu ini juga akan sentiasa kelihatan tenang dan sabar menghadapi apa jua
halangan dalam perjalanan hidupnya. Dia sentiasa berdoa memohon pertolongan
dari Allah s.w.t. kerana bagi dirinya setiap ujian dan dugaan itu datangnya
dari Allah s.w.t. Jiwanya akan bertambah kuat, kental dan kebal dalam apa jua
situasi sukar atau krisis yang diterima. Hebat dan beruntunglah manusia ini
kerana Allah menjanjikan pahala dan rahmat untuknya di dunia dan akhirat.
Terdapat
banyak cara bagi menghadapi dugaan kehidupan. Antaranya adalah mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t. dengan berdoa, berzikir dan memohon keampunan daripadaNya.
Selain itu, tidak berputus asa, sentiasa bersabar dan redha dengan dugaan yang
menimpa. Individu itu juga haruslah pandai menangani tekanan hidup dan krisis
yang dihadapinya dengan bijak dan berhemah. Robert S.Feldman dalam bukunya yang
berjudul Essentials of Understanding
Psychology (1994) menyatakan salah satu cara bagi menangani tekanan hidup
adalah dengan mendapat sokongan sosial dan emosional dari orang lain.
Bergaullah dengan keluarga atau rakan supaya tidak merasa sedih keseorangan.
Berkongsilah masalah dengan orang yang dipercayai dengan harapan bebanan yang
dihadapi akan lebih ringan. Isikan masa terluang dengan melakukan perkara yang
berfaedah dan berguna seperti membaca buku, beriadah, membantu orang yang
susah, bersukan dan sebagainya. Yang terakhir ialah sentiasa bersyukur kerana
dugaan yang diberi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan dugaan yang
menimpa orang lain dan anggaplah dugaan itu adalah untuk kebaikan diri sendiri
supaya lebih kuat, tabah dan matang di masa akan datang.Orang sebegini akan
pasti berjaya di dunia dan akhirat. Percayalah!!
BIBLIOGRAFI:
Dr. ‘Aidh Bin
Abdullah Al-Qarni (Sept, 2007), Mengingat Allah akan
menteteramkan.
Jangan Bersedih (Don’t Be Sad).
Kashmuri
Selamat M A (2009), Menghadap dan bersyukur kepada Allah. Rahmat
di Sebalik Dugaan.
Robert
S.Feldman (1994), Coping with stress. Essentials
of Understanding
Psycology.
Wan Aznan Hj. Wan Abdullah (2000), Akan ada
kelapangan sesudah
kesempitan.
Dugaan Hidup.
No comments:
Post a Comment